Sunday, December 18, 2016

Penerimaan Perubahan Budaya Mengikut Nilai-Nilai Islam Wanita Melayu Mampu Berjaya Dalam Bidang Keusahawanan

Tajuk :  Penerimaan Perubahan Budaya Mengikut Nilai-Nilai Islam Wanita Melayu Mampu Berjaya Dalam Bidang Keusahawanan.

1.0       Pengenalan
Apabila disebut perkataan usahawan, sebenarnya ianya merujuk kepada usahawan lelaki atau wanita. Dalam erti kata lain, kaum wanita tidak perlu satu istilah khas bagi menggambarkan bahawa wanita adalah seorang peniaga. Begitu juga ciri-ciri usahawan, tidak ada beza antara ciri-ciri usahawan lelaki berbanding usahawan wanita (Zaharuddin Yahya, 1995).
Menurut Kirby (1992) terdapat empat ciri-ciri asas yang perlu dimiliki oleh setiap usahawan. Ciri-ciri berkenaan ialah pertama, mengenal pasti peranan yang merujuk kepada keberkesanan individu mengakui hakikat keusahawanan merupakan satu jaringan proses dan bukan tindakan secara bersendirian. Kedua, berkemampuan iaitu berkebolehan untuk berfikir secara intuitif dan rasional. Ketiga, bermotivasi merupakan daya penggerak untuk membezakan diantara usahawan yang berpotensi dengan usahawan melepas batuk di tangga.  Keempat, kesediaan melakukan perubahan, usahawan hari ini hendaklah mampu dan bersedia untuk menangani perubahan kerana ini akan memberi kesan yang signifikan kepada perniagaan.  Dalam bidang ekonomi, wanita tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyumbangkan bakti bagi memeriahkan lagi bidang usahawan di Malaysia. Perkembangan pesat ekonomi negara menggamit lebih ramai wanita untuk melibatkan diri secara aktif dalam dunia keusahawanan.
2.0       Cabaran wanita dalam bidang keusahawanan
Selain menjadi hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab kepada Pencipta, seorang wanita itu adalah juga seorang isteri juga seorang ibu. Ini bermakna sebagai seorang usahawan, wanita juga perlu menjayakan peranannya sebagai isteri solehah juga sebagai ibu yang bertanggungjawab terhadap masa kini dan masa depan anaknya.
Dalam apa juga usaha atau bidang yang diceburi, tidak semua orang akan berjaya. Begitu juga dengan bidang keusahawanan ini di mana ada sesetengah usahawan yang berjaya, manakala yang lainnya pula gagal.  Antara salah satu faktor kegagalan seseorang usahawan ialah sikap, (M.B Muda et.al, 2003). Berbagai-bagai perkara boleh dikelaskan sebagai sikap seseorang, misalnya dari segi kerja disiplin, etika dan rasa tanggungjawab. Oleh sebab usahawan bekerja sendiri, sesetengah orang tidak dapat mendisiplinkan diri sendiri. Bekerja sesuka hati, tidak mematuhi masa untuk satu-satu temu janji, tidak memenuhi janji, tidak membayar hutang adalah antara sikap negatif usahawan yang tidak berdisiplin, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Menjadi usahawan berjaya adalah impian setiap individu yang menjalankan perniagaan. Namun begitu berbagai cabaran harus ditempuhi sebelum mengecap kejayaan yang diimpikan. Walaupun fakta menunjukkan setiap hari bilangan usahawan semakin meningkat di Malaysia, namun tidak kurang juga yang menghadapi kegagalan. Cabaran-cabaran tersebut berbeza–beza mengikut jenis perniagaan, jenis usahawan, saiz perniagaan, tempat, masa dan lain-lain lagi. Namun begitu secara umum cabaran yang harus dilalui oleh seorang usahawan boleh dibahagikan kepada diri, keluarga dan alam sekitar, (Yep Putih, 1985)
Di sini cabaran pertama lebih banyak berkisar pada diri seseorang usahawan seperti kebolehan melaksanakan tugas dan peranan dengan cekap dan berkesan. Keberkesanan banyak bergantung kepada kemahiran, pengalaman, kebolehan mendisiplinkan diri sendiri serta kesanggupan mengorbankan kesenangan dan masa lapang. Cabaran kedua pula ialah keluarga. Keluarga mempunyai kesan yang kuat kepada keazaman, ketenangan dan keupayaan untuk menjayakan sesuatu pekerjaan kerana biasanya orang-orang melayu memang terkenal dengan hubungan kekeluargaan yang begitu kuat dan rapat. Cabaran keluarga boleh terjadi dalam dua bentuk iaitu mereka langsung tidak percaya kebolehan individu itu berniaga yang mana akibatnya boleh melemahkan semangat dan keazaman dan keluarga enggan memberi kerjasama yang positif dan membina boleh menghalang mencapai kemajuan. Sebagai contoh andainya keluarga sendiri tidak memberi kepercayaan dan enggan memberi sokongan maka ini akan melemahkan semangat kita untuk terus berjaya.
3.0       Sejarah Alam Melayu
Kedatangan Islam telah menandakan bermulanya satu era baru dalam politik dan sosio-budaya masyarakat Melayu dan Nusantara. Proses Islamisasi di Alam Melayu atau Nusantara yang berlangsung selama lima ratus tahun telah memberi kesan yang besar dimana dalam jangka waktu tersebut telah berlaku transformasi budaya dalam masyarakat Melayu. Mohamad Abu Bakar ( 2005) menegaskan bahawa pembabitan Islam selama lebih tujuh ratus tahun telah memberikan asas baru kepada kehidupan individu dan sosial masyarakat Melayu, namun tidak pula bermakna bangsa Melayu telah muncul menjadi umat yang sepenuhnya mewakili nilai Islam. Apa yang jelas ialah orang Melayu beragama Islam, kebudayaan Melayu diIslamkan dan Islam dibudayakan sehingga ciri-ciri yang bertentangan dengan ajaran Islam turut berkembang. Tegasnya Islam sebagai budaya dominan dalam kalangan masyarakat Melayu belum berjaya melangkaui kerangka lamanya, sekalipun ia begitu berpotensi bertindak sedemikian.
Walaupun agama Islam adalah agama dominan masyarakat Melayu sehingga boleh dikatakan setiap orang Melayu di Malaysia adalah orang Islam, namun daripada sudut penghayatan terhadap ajaran Islam itu sendiri banyak bergantung kepada pemahaman setiap individu. Al Attas (1994) mengaitkan perkara tersebut dengan masalah kekeliruan ilmu dalam kalangan umat Islam sehingga menyebabkan Islam tidak dapat dilihat alam bentuknya yang sebenar. Dengan mengakui pandangan Syed Muhammad Naquib al Attas, Syamsul Alam MS (1994) dan Mohamad Abu Bakar (2000) berpendapat kekeliruan ilmu ini berlaku kerana pembinaan agama Islam ke dalam masyarakat Melayu belum mantap semasa kejatuhan kerajaan Islam Melaka. Sebagai akibatnya bukan kepercayaan Islam sahaja yang mendasari kebudayaan Melayu, sebaliknya pelbagai pengaruh kepercayaan animisme, kepercayaan Hindu dan Budha turut meresapi tata cara kehidupan masyarakat Melayu (Syamsul Alam MS 1994; Amran Kasimin 1995; Mohamad Abu Bakar 2000).
Selain daripada unsur-unsur fahaman animisme, Hindu dan Buddha, budaya masyarakat Melayu juga telah menerima pengaruh negative fahaman budaya barat kesan penjajahan Potugis dan Inggeris. Al Attas (1994: 14)  dalam mengulas mengenai pengaruh falsafah kebudayaan barat terhadap nilai-nilai hidup Islam menyatakan:  Zaman kita kini juga sedemikian keadaannya, di mana kita sentiasa menghadapi cabaran pemikiran akibat kehidupan kita kini, yang dikelilingi dan dijangkiti oleh pelbagai penyakit menular dari kuman faham falsafah Barat moden serta dasar-dasar sains, teknologi yang lahir darinya, dan ideologi yang disebarkannya, yang berusaha menyeludup menjalar ke dalam segala sistem nilai hidup, akhlak, pemikiran dan kepercayaan serta keseluruhan cara hidup kita, sebagai daya usaha yang bersungguh-sungguh bagi membawa perubahan yang melampau yang lebih bersesuaian dengan pandangan hidup sekular mereka sendiri.
Kesan penjajahan barat turut juga mengubah budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat Melayu. Alatas (1989) menghuraikan secara mendalam mengenai lenyapnya ciri-ciri keusahawanan dan hilangnya golongan pedagang Melayu yang satu ketika menguasai perdagangan di Asia Tenggara adalah kesan kolonialisme Barat.
 Walaupun kini melalui pelbagai usaha yang dilakukan telah dapat melahirkan segolongan usahawan Melayu yang berjaya, namun beberapa elemen masih memperlihatkan pengaruhnya dalam budaya korporat Melayu. Mohammad Ali Hashim (1996) mengenalpasti tiga faktor penting yang mempengaruhi corak budaya korporat Melayu iaitu budaya korporat melukut, budaya korporat feudal dan budaya korporat penjajahan.  Menurutnya budaya korporat melukut terjadi sebagai pembawaan sikap yang terlalu merendah diri iaitu merasa diri terlalu kecil, tidak diperlukan dan tidak membawa pengaruh kepada pihak lain. Budaya korporat feudal pula memberikan standard kebesaran dan hak memimpin kepada orang perseorangan atau terhadap satu golongan berdasarkan keturunan dan dalam kontek masa kini standard tersebut dikira berdasarkan pangkat atau rakan taulan tetapi daya kepimpinan dan keupayaan membimbing diketepikan.   Budaya korporat penjajahan pula menonjolkan ideologi yang bertujuan untuk mengekalkan kepentingan penjajah yang secara tidak langsung juga meneruskan status sebagai bangsa yang terjajah dalam kalangan pribumi.
Jelaslah bahawa kepercayaan agama, adat tradisi dan kesan penjajahan barat telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan nilai, sikap dan kehidupan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu memerlukan satu proses pemahaman semula terhadap nilai dan budaya Islam. Pemahaman yang benar berkaitan nilai dan budaya Islam sahajalah berupaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang kewajipan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim sebenar dengan mengambilkira warisan berharga yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

4.0       DIMENSI KONSEP JIHAD PERNIAGAAN DALAM ISLAM
4.1       Jihad melawan hawa nafsu
Jihad melawan hawa nafsu di dalam diri usahawan Muslim ialah jihad melawan ujian yang boleh membawa kepada tergugatnya keimanan dan juga kesabaran dan cenderung untuk melakukan kejahatan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:  Sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan (Yusuf 12:53).  Nafsu merupakan musuh yang paling jahat, kejahatannya melebihi kejahatan syaitan.  Sekiranya nafsu tidak dikawal, ia akan menguasai diri (Saat Sulaiman 2010). Nafsu merupakan ujian kepada golongan usahawan. Oleh itu sebagai seorang usahawan Muslim, kawalan kepada nafsu sangat penting. Di antara perkara-perkara yang melanggari syariat agama yang dikaitkan dengan jihad melawan hawa nafsu sebagaimana yang telah diterangkan di dalam al-Quran adalah seperti berikut:
a) Berjudi dan minum arak, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.(al-Maidah 5: 90).
b) Berzina, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakkan)(al-Israa’ 17: 32).
c) Tidak mengingati jasa kedua ibubapa, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah selain kepadaNya sematamata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) (al Israa’ 17: 23).
d) Tidak berbuat baik kepada kedua ibubapa, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan Dia dengan sesuatu apa jua: dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri (an-Nisaa’ 4: 36).
e) Memutuskan silaturahim, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidaklah harus dibimbangkan dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa. Kamu akan melakukan kerosakkan di muka bumi ini, danmemutuskan silaturahim dengan kaum kerabat? (Muhammad 47: 22).
f) Bergaduh sesama manusia, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan berpeganglah teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu di zaman jahiliah), demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk dan hidayahNya. (al-Imran 3: 103)
Mengikut Saat Sulaiman (2010: 50), jihad melawan hawa nafsu bagi seorang usahawan adalah mengelakkan diri dari berjudi, minum arak, dan menyimpan perempuan simpanan. Selain itu jihad melawan hawa nafsu juga seorang usahawan sentiasa mengingati jasa kedua ibu bapa mereka dan sentiasa menziarahi mereka serta tidak melupakan adik beradik serta ahli keluarga mereka. Seterusnya seorang usahawan yang berjaya bukanlah seorang yang panas baran dan suka bertengkar. Oleh itu seorang usahawan Muslim perlu berjihad melawan hawa nafsu dengan mengelakkan diri melakukan perkara-perkara yang melanggari syariat agama.
4.2       Jihad harta
Bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh merupakan salah satu perjuangan hidup umat Islam. Ini kerana sebaik-baik makanan adalah yang terhasil daripada usahanya sendiri. Menjadi seorang usahawan bukan sahaja mengajar diri supaya berdikari tetapi juga bertanggungjawab untuk memajukan diri ke hadapan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah luah); dan janganlah kamu melakukan kerosakkan di muka bumi: Sesungguhnya, Allah tidak suka kepada orangorang yang membuat kerosakkan. (Al-Qasas 28: 77)
Sebagai seorang yang berjihad di dalam bidang keusahawanan, perkara utama yang perlu dilakukan ialah menggunakan keupayaan untuk berfikir dan berikhtiar mencari rezeki berdasarkan kepada bakat dan keupayaan masing-masing. Menurut Hailani Muji Tahir (1982), jihad mencari harta bagi seorang usahawan Muslim adalah untuk mencapai empat objektif utama iaitu:
i)   Berusaha untuk memenuhi keperluan diri sendiri.berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari harta adalah senjata yang paling utama untuk menghapuskan kemiskinan. Islam melarang individu yang malas, berpeluk tubuh dan hanya berserah kepada Allah sematamata untuk mengharapkan rezeki yang datang bergolek. Jika dilihat daripada sejarah Rasulullah SAW dan juga para sahabat tergolong daripada golongan usahawan. Mereka tidak berpeluk tubuh dan mengharapkan belas kasihan daripada orang lain. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Muhammad Al Makkiy, telah menceritakan kepada kami 'Amru bin Yahya dari kakaknya, dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda: "Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi melainkan dia sebagai pengembala kambing". Para sahabat bertanya: "Termasuk junjungan juga, Ya Rasulullah?" Maka Baginda menjawab: "Ya, aku pun telah mengembala kambing dengan mengambil upah beberapa qirat (keping dinar), iaitu kambing-kambing kepunyaan penduduk Makkah".  (Hadith Riwayat Sahih Al-Bukhari, Kitab as-Syuf’ah, Bab Ra’yi al-Ghanami ‘ala Qaraariit, no Hadith 2262,175)
Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia kemampuan dan keupayaan berfikir dan berikhtiar untuk mencari rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan diri. Dia telah menyediakan pelbagai perkerjaan yang boleh diceburi mengikut keupayaan dan bakat yang dimiliki. Rezeki yang Allah berikan kepada manusia tidak akan datang dengan sendirinya tanpa berusaha dan sikap mengharapkan belas ihsan orang lain untuk hidup sangat dibenci oleh Allah SWT.   Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukhari, telah menceritakan kepada kami Al-Laits dari ‘Uqul dari Ibnu Syihab, dari Abu ‘Ubaid sahayanya ‘Abdurrahman bin Auf bahawa dia mendengar Abu Hurairah r.a berkata: Sesungguhnya, seseorang dari kalian yang memikul kayu bakar di belakangnya, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain, samada diberi ataupun tidak.  (Hadith Riwayat Al Bukhari, Kitab al-Buyu’, Bab Kasbi al-Rajuliwa ‘Amalihi Biyadihi, no. Hadith 2074, 162)
Berdasarkan hadis di atas jelas menunjukkan jihad harta yang utama bagi seorang usahawan adalah untuk memenuhi keperluan diri sendiri.
ii) Memenuhi keperluan keluarga dan golongan yang lemah. Seorang usahawan Muslim juga mempunyai tanggungjawab untuk menyara keperluan keluarga dan membantu golongan yang lemah seperti anak-anak yatim dan juga golongan yang kurang upaya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya, Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.  (An-Nisaa’ 4: 36)
Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa seorang usahawan bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan keluarga dan membantu golongan yang lemah.
iii) Bertanggungjawab menunaikan nafkah zahir yang berupa makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal untuk isteri dan anak-anaknya mengikut kemampuannya. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Aisyah RA berkata: Berkata isteri Abi Sufyan kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya Abu Sufyan lelaki yang sangat kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untukku dan anak-anakku kecuali apa yang telah ku ambil daripadanya dan dia tidak mengetahui.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah (dari harta suamimu) kadar yang mencukupi bagi keperluan anda dan anak-anak anda secara makruf (baik dan bersopan)”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Kitab Riyadus Solihin, Kitabul Umuri Manha Anha, Hadith no. 1535, 25)
Kewajipan menyediakan makanan, pakaian dan juga tempat tinggal kepada ahli keluarga merupakan salah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pemimpin keluarga dan ianya merupakan jaminan sosial yang perlu dipenuhi oleh seorang usahawan.
iv) Menunaikan kewajipan zakat, zakat memainkan peranan penting dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kemiskinan. Sekiranya dilaksanakan secara keseluruhannya, maka sesebuah negara tidak akan mempunyai masalah kemiskinan dan juga pengangguran.
Sebagaimana dibuktikan pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika pemerintahannya di mana terlalu sukar untuk mencari fakir miskin untuk diberikan zakat Baitulmal. Segalanya berpunca dari perlaksanaan institusi zakat yang sempurna (Hailani Muji Tahir 1982: 112).  Oleh itu, sebagai seorang usahawan, kewajipan menunaikan tanggungjawab membayar zakat adalah sebagai menyempurnakan keperluan golongan lain yang kurang berupaya dan benar-benar memerlukan bantuan.
Perniagaan antaranya termasuklah membantu golongan lain untuk mencari rezeki dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat, menjalinkan hubungan yang baik dengan pembekal, pelanggan, institusi latihan, institusi kewangan, golongan usahawan, agensi kerajaan dan juga membantu masyarakat sekeliling dengan memberi sumbangan samada dari aspek masa, tenaga dan juga kewangan.
5.0       Kesimpulan
Jihad ilmu termasuklah dalam kategori menuntut ilmu dan memberi ilmu. Ianya merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh para usahawan Muslim untuk maju di dalam perniagaan yang dijalankan. Ayat al-Quran yang pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah berkenaan dengan ‘Iqra’ yang merupakan asas untuk memperolehi ilmu pengetahuan.  Usaha baik di dalam mencari ilmu pengetahuan dipandang mulia di dalam Islam dan dianggap sebagai jihad di sisi Allah SWT.  Kewajipan menuntut ilmu ini telah ditegaskan oleh Allah SWT melalui perintahnya yang berulang-ulang di dalam al-Quran. Di antara ayat al-Quran yang menganjurkan hambanya mengkaji dan menganalisis ilmu antaranya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yangmudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.(An-Nahl 16: 66)
Umat Islam yang telah dipilih oleh Allah menjadi umat terbaik di tengah-tengah manusia,adalah kerana ilmu yang diturunkan kepadanya dan menjadi kewajipannya untuk menghasilkan penemuan-penemuan ilmiah yang mengangkat darjat individu pada segenap lapangan kehidupan secara keseluruhannya (Musthafa Muhammad at-Thahhan 1997: 90). Sebagai contoh, untuk berjaya di dalam lapangan keusahawanan, seorang usahawan perlu mempunyai ilmu dan pengalaman tentang selok belok perniagaan yang diceburinya.
Terdapat dua jenis ilmu yang perlu dipelajari oleh usahawan iaitu ilmu naqli dan ilmu aqli.
i) Ilmu naqli merupakan ilmu yang bersumberkan wahyu Allah SWT dan wajib ke atas setiap Muslim mempelajarinya. Ilmu naqli terdiri daripada ilmu akidah, syariah dan juga ilmu akhlak. Ilmu akidah merupakan ilmu yang paling penting diketahui sebelum mengetahui ilmu-ilmu lain. Perkara pertama yang perlu bagi seorang Muslim ialah mengenal Allah SWT. Ilmu syariah pula merupakan ilmu fiqh yang menjadi asas untuk melaksanakan ibadah. Ilmu fiqh ini terdiri dari beberapa cabang iaitu ibadah, muamalah dan kekeluargaan (munakahat). Dengan mengetahui ilmu ini, seorang Muslim akan dapat melaksanakan ibadat dan urusan kehidupannya seharian dengan lebih yakin. Manakala ilmu akhlak (tasawuf) juga tidak kurang pentingnya untuk diketahui oleh setiap Muslim. Setiap Muslim wajib mengetahui sifat-sifat hati sama ada sifat baik (mahmudah) atau sifat buruk (mazmumah).  Seterusnya, hendaklah beramal dengan sifat-sifat mahmudah tersebut seperti sabar, ikhlas, qanaah (sederhana) dan menjauhi sifat-sifat mazmumah yang boleh menghapuskan amalan baik yang dilakukan.
ii) Ilmu ‘aqli boleh difahami sebagai ilmu fardu kifayah. Ianya diperolehi hasil daripada pencapaian sendiri, daya usaha aqliah melalui pengalaman hidup, latihan penyelidikan dan juga pengkajian.  Hakikatnya, ilmu ini juga datang daripada Allah dan merupakan alat kepada manusia untuk meneroka makhluk-makhluk yang diciptakan Allah bagi kemudahan manusia melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. (Mohd Ali Abu Bakar 2000: 193)
Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Salwa, Mohamad-Azahari dan Joni-Tamkin (2013: 94) terhadap usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Perak mendapati, salah satu ciri usahawan berjaya adalah berusaha mencari ilmu dan memberi ilmu antaranya seperti menghadirkan diri ke dalam majlis ilmu dan berkongsi ilmu dengan pekerja dan masyarakat.  Manakala kajian yang dilakukan oleh Zaidatol Akmaliah dan Habibah Elias (2004) terhadap 72 orang usahawan yang mendaftar di bawah Dewan Perniagaan Melayu mendapati, seorang usahawan berjaya akan sentiasa memotivasikan pekerja dan memberi latihan kepada pekerja seperti memberikan kursus atau bengkel kepada pekerja, menghantar pekerja untuk mengikuti kursus ataupun latihan dan menggalakan pekerja membuat penyelidikan dan kajian tentang produk dan perkhidmatan yang disediakan.
Seterusnya, kajian yang dilakukan oleh Ab Ibrahim dan Goodwin (1986), mendapati, terdapat hubungan yang signifikan diantara usahawan yang berilmu dengan pencapaian mereka di dalam perniagaan yang diceburi. Menurut beliau, kekurangan ilmu pengetahuan terutamanya di dalam perniagaan yang diceburi akan menyebabkan sesebuah perniagaan akan menghadapi masalah dan akhirnya, gagal.

6.0       Bibliography
Mustafa Kamal Bin Maulut .2015.
Faktor-faktor keusahawanan yang menyumbang kepada kejayaan koperasi kredit yang
cemerlang di Malaysia.
Yazilmiwati Yaacob.et.al (2015).
Meneliti Hubungan Jihad Perniagaan dengan Pencapaian Usahawan Muslim
Berjaya di Malaysia
Patricia Slaone. 1998, St Antony’s Series .1993,

Islam,Modernity And Entrepreneurship Among The Malays.

No comments:

Post a Comment